Harian Metro, 31 May 2014 - Sasar RM2b

Harian Metro, 31 May 2014

Petaling Jaya: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM600 juta atau bersamaan 576 unit rumah melalui kempen ‘Tropicana Collection’ dalam tempoh enam minggu bermula 15 April hingga 31 Mei lalu, membabitkan beberapa projek perumahannya di Pulau Pinang, Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Kota Kinabalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Yau Kok Seng berkata tiga projek pembangunan yang dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar bagi nilai jualan terbabit adalah Tropicana Metro Park, Subang dengan jualan sebanyak RM245 juta, Tropicana Danga Cove (RM79 juta) dan Tropicana Danga Bay, Iskandar Malaysia (RM67 juta).

“Kempen ini membantu kami mencapai jualan kira-kira RM1 bilion sehingga hari ini dan ia menjadikan kami berada pada landasan tepat untuk mencatatkan sasaran jualan melebihi RM2 bilion menjelang penghujung 2014,” katanya pada sidang media ‘Tropicana Collection’, semalam.

Kempen terbabit menawarkan pembangunan eksklusif projek siap atau masih dibina, kediaman bertanah mewah hingga kediaman bangunan tinggi eksklusif dan pembangunan komersial kontemporari hingga pejabat kedai moden.

Beliau berkata, kempen terbabit adalah platform terbaik untuk mempamerkan projek pembangunan bersepadu kumpulan itu yang terdapat di lokasi strategik seluruh negara di mana mereka mewujudkan pakej sesuai bagi memenuhi kepelbagaian keperluan dan permintaan pelanggan daripada aspek lokasi, produk dan harga.

“Untuk kempen ini, kami turut menawarkan jualan kepada warga asing yang mana ia dipromosikan melalui rangkaian jualan kami yang berada di Singapura dan Shanghai, China.

Sebagai contoh, 40 peratus daripada pembeli bagi projek perumahan kami di kawasan Iskandar Malaysia adalah pembeli luar negara,”katanya.

Kok Seng berkata, kumpulan itu dijangka terus memperkenalkan empat projek pembangunan baru bagi tahun ini iaitu Tropicana Gardens, Kota Damansara; Tropicana Aman, Kota Kemuning; Tropicana Danga Bay, Iskandar dan Tropicana Heights, Kajang dengan sasaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM3 bilion.

Menurutnya, projek itu merangkumi kediaman bertanah seperti rumah teres dua hingga empat tingkat berpaut, rumah tingkat berkelompok dan rumah teres dua tingkat di samping kediaman bangunan tinggi dengan fasa pembinaan akan mula dilakukan dalam tempoh suku ketiga tahun ini.

“Untuk tahun ini, kami akan memberi fokus kepada pembangunan rumah bertanah yang dilihat sebagai trend terkini dalam kalangan pembeli di samping terus mewujudkan kediaman bangunan tinggi yang turut mendapat permintaan menggalakkan,” katanya.